Thursday, March 3, 2011

PETIKAN: NOVEL REDHA TAKDIRMU



PUAS dipaksa dan dipulas telinga, dicubit dan ditampar, aku tetap berkeras sambil menangis bersungguh hati. Aku harapkan dengan deraian air mata yang melimpah, Idham akan berasa simpati. Rupa-rupanya harapanku hancur dan remuk. Idham, tetap dengan kehendak-nya. Kuasanya sebagai seorang suami. Sungguh, aku berasa amat tertekan sekali. Terlalu tertekan.
“Bagi sini nombor itu, jika tidak malam ini, rumah ini akan dibanjiri dengan darah abang!” suara Idham sudah semakin serak. Mungkin kerana dia telah bertempik dan memarahi aku hampir dua jam. Ancaman Idham mencemaskan aku. Jariku mengeletar sewaktu menuliskan nombor Norshakila dan menyerahkannya kepada Idham.
“Kamu duduk di situ dan jangan pergi ke mana-mana!” Idham menundingkan jari telunjuknya ke arah sofa yang berada tidak jauh daripada meja telefon.
Idham terus menghubungi Norshakila. Aku langsung tidak boleh mencelah perbualan mereka. Setiap kali aku cuba menghampiri Idham untuk menghalangnya dari terus bercakap dengan perempuan itu, Idham menunjukkan pisau-pisau yang dipegangnya kepadaku. Idham terus menceritakan perkara sebenar yang telah terjadi dan meminta maaf bagi pihak diriku. Itulah yang aku dengar. Perbualan mereka tamat selepas 30 minit berlalu.
“Lidya mulai hari ini kamu mesti berjanji yang kamu tidak akan menghubungi mereka lagi. Jangan sebut namanya di hadapan abang walaupun sekali. Kalau abang dapat tahu Lidya berhubung dengan Syamil lagi, abang akan hancurkan mukanya!” Idham duduk di lantai berhampiran denganku. Kedua bilah pisau tadi masih di tangannya.
“Kamu masih nak ingati dia ke?” Idham menyoal dengan nada keras.
Aku terdiam, tidak tahu untuk menjawab apa. Dapatkah aku melupakan Syamil, lelaki yang telah mengisi seluruh ruang hatiku?
“Jawab!” Idham bertempik berulang-ulang sambil menampar-nampar tubuh badanku dengan kuat.
Aku masih membisu.
Idham terus meradang dan mencapai cuping telingaku pula dan dipulasnya dengan kuat.
“Sampai mati Lidya tidak boleh lupakan dia!” Bibirku terketar-ketar mengungkapkan ayat itu sambil menahan tangisan. “Tak boleh bang! Tak boleh! Lidya lebih rela mati!” Aku terus teresak-esak seperti anak kecil. Di hatiku tersendat pilu.
Kata-kataku itu tambah menaikkan darah Idham.
“Kamu nak tengok abang mati malam ini? Hah?” Idham menghempas-hempas kedua bilah pisau tadi ke dadanya.
“Tak nak bang! Tolonglah bang jangan buat begitu!” Aku terus merayu. Jika benar Idham nekad untuk membenamkan pisau menembusi dadanya sehingga membawa maut, apa yang aku ceritakan kepada keluarganya? Bagaimana dengan aku? Tubuh badanku sudah berbirat-birat kerana di pukulnya berkali. Segala rahsia yang aku sembunyikan selama ini akan terbongkar.
“Perangai kamu ini akan buat aku mati! Kamu bunuh aku dalam diam! Sekarang ni kamu masih nak ingat si Syamil itu atau tidak?” Idham terus bertempik. Lagi sekali tangannya hinggap di bahagian belakang leherku. Hanya TUHAN sahaja yang tahu bagaimana perasaanku pada waktu itu. Kekecewaan, kesedihan, kehampaan dan kesengsaraan seolah bersatu dan menyempitkan saluran pernafasanku. Ada ketikanya aku terpaksa mengangakan mulut untuk bernafas.
“Nah! Kamu bersumpah dengan al-Quran ini!” Idham mencapai sebuah al-Quran yang berada di rak buku berhampiran dengan televisen. Al-Quran sama yang digunakannya sewaktu menyuruh Syamil membuat janji bersumpah tempoh hari.
“Nak cakap apa?” Aku menyoal bodoh dengan suara yang sengau kerana hidungku sudah sendat oleh hingus kerana terlalu lama aku menangis. Lagi sekali telingaku dipulas oleh Idham
“Sekarang kamu ikut apa yang aku cakap!” Idham bersuara garang.
Dengan suara yang tidak berdaya, aku pun mengikut kata-kata yang diucapkan oleh Idham walaupun tidak sepenuhnya. Aku sudah terlalu letih. Letih fikiran, kecewa perasaan. Badanku rasa sakit dan sengal-sengal. Mataku sudah pedih. Air mataku sudah kering. Tekakku pun sudah terasa sakit.
“Degil! Keras kepala!” Serentak dengan suara itu, aku terasa ada benda keras menghempap atas kepalaku. Idham telah menghempuk kepalaku dengan al-Quran yang berkulit keras itu sekuat hatinya. Tidak cukup dengan itu dia menghempuk pipi kiri dan kananku juga dengan quran itu. Telingaku menjadi bengang tiba-tiba. Darah mengalir perlahan dari lubang hidungku. Kegetiran itu tidak dapat kugambarkan dengan kata-kata atau suara, betapa aku berada di dalam rasa takut yang maha dalam.
Lembing-lembing tajam seolah berceracak menghala kepadaku. Menanti detik untuk merobek-robek serta menyiat sekujur tubuhku dengan amat kejamnya, lalu kelukaan-kelukaan yang parah akibat diterjah dengan senjata itu, disiram dengan cuka yang amat bisanya. Sungguh aku tidak tertahan menangggung pedihnya.
Idham benar-benar telah naik darah. Kemarahannya tidak terkawal lagi apabila aku ditampar bertubi-tubi pula. Aku tidak mampu melawan walaupun sedikit. Alangkah seksanya perasaanku pada waktu itu. Alangkah takutnya aku pada detik itu. Bagaikan berada di pernafasan terakhir, tidak ada sesuatu pun yang dapat aku lakukan. Hanya menanti dengan reda dan pasrah.
“Abang! Maafkan Lidya, bang! Lidya tidak buat lagi! Sudahlah abang! Kalau perpisahan dengan Abang Syamil boleh memberi kebahagiaan kepada abang, tak apalah, Lidya ikut segala kata abang! Cuma Lidya rasa sedih, inikah balasannya yang Lidya perolehi di atas segala budi yang Lidya hulurkan kepada orang!” Aku merintih dan merayu kepada Idham, memohon simpati dan berharap dia akan menghentikan segalanya. Pernafasanku bagaikan dilalui oleh udara beracun yang akan menyentak-nyentak tangkai jantung, menghentikan aliran darah, meleraikan gumpalan uratku dan mencabutnya satu per satu.
“Kalau abang mati kamu jaga diri kamu Lidya! Berhati-hati dan jangan terpedaya lagi dengan orang-orang seperti Syamil ini!” Keras suara Idham masih belum berkurangan. Dia duduk di atas kerusi rotannya sambil memicit-micit kepala. Dahinya dikerutkan berkali. Tubuhnya yang tidak berbaju berpeluh-peluh.
Kesedihanku kerana diperlakukan begitu oleh Idham dan kekecewaanku disebabkan oleh sikap Syamil serta kelukaanku yang disebabkan oleh Norshakila, ditambahi pula oleh rasa bimbang apabila melihat Idham di dalam keadaan itu. Dia benar-benar di dalam keadaan tertekan, kesal dan kecewa.
“Keluarga itu tidak boleh dibuat baik! Kalau abang tiada lagi, kamu ingat pesan ini Lidya! Jaga maruah kamu, diri kamu, jangan diperlekehkan oleh orang lain!” Idham menasihati dengan nada keras.
Pukul 3.45 pagi barulah aku berpeluang merebahkan diri untuk tidur. Idham dengan perasaan marah yang belum reda tetap menyambut tanganku sewaktu aku ingin bersalam dengannya sebelum tidur. Malam itu aku tertidur dengan esakan yang masih belum reda. Nasib baik aliran darah dari hidungku sudah berhenti. Namun, rasa bengang telingaku akibat dihempuk kepalaku dengan al-Quran masih tetap sama. Belakang leherku juga terasa amat sakit.

DERINGAN jam loceng mengejutkan aku. Kepalaku rasa sakit. Terlalu sakit. Begitu juga dengan tubuh badanku. Berat rasanya hatiku untuk membuka mata pada subuh itu. Berat juga rasa hatiku untuk pergi ke pejabat. Aku benar-benar rasa tidak berdaya. Idham di sebelahku masih keras dengkurnya. Mendengar suara azan yang berkumandang dari arah surau yang berhampiran, aku menggagahkan diri untuk bangun. Tekakku terasa mual dan loya sebaik sahaja aku bangun berdiri. Mujur keadaan itu hanya seketika.
Alhamdulillah, selepas mandi subuh itu, berwuduk dan solat subuh tubuhku rasa segar sedikit. Namun, telingaku tetap rasa bengang tambahan apabila tubuh badanku bergerak agak pantas. “Assalamualaikum, bang! Bang! Bangunlah bang! Abang bangunlah sembahyang subuh! Bang!” Aku menepuk-nepuk pipi Idham berkali-kali. Rambutnya kuusap perlahan. Sesekali aku mencium dahinya. Walaupun semalam aku dikasari sebegitu rupa, namun aku memaafkan segalanya tanpa dipinta.15 minit berlalu, Idham masih belum sedar. Dengkurannya tetap sama.
“Abang! Mengapa begini? Tolonglah bang, bangunlah!” Perasaan hatiku semakin cemas. Aku tidak putus asa untuk mengejutkan Idham. Mungkin dia terlalu letih kerana peristiwa semalam.
‘Kenapa ni?’ Hatiku menyoal sendiri. Ombak resak mulai bergelora di jiwaku. Aku menuju ke dapur dan mengambil semangkuk air. Idham tidak juga mencelikkan matanya walau kepala dan mukanya telah aku basahi dengan air. Aku membaca ayat Kursi dan meniupkan di telinga kanannya, namun Idham tidak memberi tindak balas. Kegelisahanku semakin menebal.
“ Abang!!!”
Malangnya, suaraku itu seolah tidak didengari oleh Idham. ‘Ya ALLAH, terlalu banyak dugaan terhadap hamba-MU ini. Berilah aku kekuatan untuk menghadapi segalanya. Kini aku keseorangan di rumah ini. Tolonglah aku, Ya ALLAH.’ Begitu bisik hatiku untuk mententeramkan fikiran. Fikiranku semakin bergelodak apabila cecair merah mengalir semula dari lubang hidungku. Walau pun lelehannya amat perlahan dan sedikit tetapi aku benar-benar rasa takut dan cemas dan pada waktu yang sama, Idham masih tidak bergerak.
“Abang! Bangunlah bang! Janganlah begini!” Lagi sekali aku mengejutkan Idham. Dalam rasa takut dan cemas itu gagang telefon terus aku capai. Idham tidak boleh dibiarkan dalam keadaan begitu lebih lama lagi.
“Helo! Unit rawatan dan kecemasan! Tolong hantar ambulan ke rumah di nombor…”


REDHA TAKDIRMU
penulis: JURIAH ISHAK
terbitan : ALAF 21

NOVEL NUR TERBITAN ALAF 21



DAPATKAN NOVEL-NOVEL INI UNTUK TATAPAN ANDA SENDIRI. HADIAHKAN KEPADA TEMAN. KEPADA IBU. KEPADA ADIK. KEPADA KAKAK. KEPADA TEMAN BARU. TEMAN LAMA. KEPADA KEKASIH DAN KEPADA ORANG-ORANG YANG ANDA SAYANG.


CARILAH SESUATU DI DALAMNYA. UNTUK BERFIKIR SEJENAK. BERMUHASABAH SESAAT. MUDAHAN DAPAT MENELUSURI DI DALAM DIRI SENDIRI..DAPAT MENGENAL DIRI SENDIRI...