Thursday, September 1, 2011

PETIKAN: NOVEL SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 36)



Dia kembali ke kamar hotel dengan langkah yang kemas dan menyakinkan. Hatinya berasa lapang kerana segala tugas yang telah diamanahkan telah dilaksanakan dengan baik. Mudah-mudahan segala usahanya menjayakan syarikat sebagaimana yang telah diamanahkan oleh bapanya diberkati oleh ALLAH.
Baru sahaja pinggulnya diletakkan di atas tilam dan tangannya mencapai kaki untuk menanggalkan sarung kaki, telefon bimbit di koceknya bergegar.
“Helo! Helo!” Puas Aldi bersuara, namun tidak ada suara yang menjawabnya. Hanya terdengar bunyi angin dan desas-desus yang tidak tentu butirannya. Dia melihat di skrin yang jelas memaparkan nombor talian tetap menggunakan kod semenanjung. Dia cuba menghubungi kembali, namun gagal.
‘Guna telefon awam ni! Siapa ya?’ Pertanyaan hatinya tidak mendapat jawapan. Jantung Aldi berdebar-debar. Entah mengapa dia teringat kepada keluarga Mak Cik Hasnah. Sudah tiga minggu dia tidak menjenguk mereka. Minggu terakhir dia ke sana Mak Cik Hasnah kelihatan tidak sihat. Batuknya semakin menjadi-jadi. Dia telah meninggalkan sedikit wang untuk perbelanjaan keluarga itu dan berpesan supaya Nuraina membawa emaknya ke hospital.
‘Jangan-jangan Hambali yang menghubungi aku! Entah apa yang terjadi kepada Mak Cik Hasnah!’ Hati kecil Aldi berbisik sendiri. Kebimbangan mulai berputik di hatinya. Tiga empat bulan mengenali keluarga itu, dia semakin serasi. Keluarga Mak Cik Hasnah bagaikan sebahagian daripada dirinya. Sehingga ke saat itu, Mak Cik Hasnah dan anak-anaknya tidak mengetahui yang Aldi adalah anak majikan Nurlisa. Dia sengaja merahsiakan perkara itu untuk menutup idenditinya yang sebenar.
Selepas menanggalkan baju dan seluar, Aldi membalut diri dengan tuala dan merebahkan diri seketika di atas katil. Dia terlena akibat keletihan. Matanya terbuka apabila terdengar ketukan yang kuat di pintu biliknya. Dia bangun lalu turun dari katil. Matanya sempat melihat jam dilengan. Pukul 8.30 malam. Hampir tiga jam dia terlena. Solat asar dan maghrib pun sudah terlepas.
“Sebentar!” Kakinya meraba selipar di bawah katil. Sebaik sahaja kakinya tersarung dengan selipar dia terus melangkah menuju ke pintu.
“Helo!” Tercegat di depan pintunya ialah seorang perempuan yang berjeans ketat dan berbaju T sendat dan mendedahkan sebahagian dadanya. Senyuman wanita itu bertambah lebar apabila melihat lelaki di hadapannya tidak berbaju dan hanya berbalut dengan tuala berwarna putih dari pinggang ke lututnya.
Aldi benar-benar terkejut dan berasa serba salah di dalam keadaan itu.
Tidak sempat berkata sesuatu, tubuh wanita itu masuk ke bilik tanpa menghiraukan Aldi yang berdiri di pintu tanpa suara.
“Untuk apa datang ke sini?” Aldi terus menyoal. Daun pintu direnggangkannya luas-luas.
“Rindu! Nak melepaskan rindu. Salah ke?” Ain Wahida mengekori Aldi yang kelihatan resah. Kemudian gadis itu menuju ke pintu lalu menutup pintu rapat-rapat.
“Rindu adik ipar kepada bekas abang ipar?” Dari penjuru matanya Aldi terus memerhatikan Ain Wahida yang sedang berjalan menuju ke katil lalu duduk di atas tilam.
“Tak salah!” Aldi menjawab persoalannya sendiri. Matanya menjeling Ain Wahida yang sedang duduk di birai katil.
Tangan Aldi mencapai gagang telefon. Ain Wahida seolah dapat membaca fikiran Aldi. Dia terus menerpa dan memegang tangan lelaki itu yang sedang mengangkat gagang.
“Tak ada bilik kosong! I dah tanya tadi! So...” Ain Wahida merapatkan dirinya ke tubuh Aldi. Dia mencapai tangan Aldi dan membelitkan tangan Aldi ke tubuhnya pula.
Aldi benar-benar terkejut dengan perlakuan Ain Wahida.
“Ain! Ain... mengapa ni! I abang ipar you! Tak ada rasa segan ke you berkelakuan begini! Please! Leave me alone!” Aldi menolak tubuh Ain Wahida yang semakin kuat mendakapnya. Harum tubuh Ain Wahida mendebarkan dadanya.
“I dah anggap you sebagai kekasih I, sebelum I mengetahui yang you bekas suami Rishal! Kakak I dah lama mati! You kena mencari cinta yang baru!” Suara Ain Wahida tertahan-tahan sewaktu mengungkapkan kata-kata itu. Bibirnya benar-benar hampir dengan telinga Aldi.
“Ain! You dah salah faham! Tolong jangan buat begini! Ingat sikit arwah kakak you! Dia tentu terluka jika you berterusan begini! I love her very much!” Aldi masih berlembut dan cuba membebaskan dirinya daripada pelukan Ain Wahida.
“Aldi! Kalau you benar-benar cintakan Kak Rishal, you jangan lukakan hati I.” Ain Wahida tiba-tiba menangis di dada Aldi.
Aldi semakin resah dan gelisah. Fikirannya tiba-tiba menjadi serabut. Dia menolak tubuh Ain Wahida supaya tidak terus mendakap tubuhnya yang tidak berbaju.
“You tak boleh biarkan bayangan Rishal menghantui hidup you! You masih hidup dan perlu memenuhi tuntutan hidup you... tuntutan nafsu dan hati you yang masih mendambakan kasih sayang daripada seorang wanita.” Ain Wahida semakin kuat memeluk leher Aldi dan merapatkan wajah lelaki itu ke wajahnya.
Aldi semakin gelisah. Perlakuan Ain Wahida benar-benar telah menghumbankan dirinya di dalam lautan perasaan yang tidak menentu.
“You berpura-pura, kan?” Ain Wahida semakin merapatkan dirinya ke tubuh Aldi, memaksa lelaki itu berundur ke belakang.
“Berpura-pura apa? Ain! Jangan berkelakuan begini!” Aldi cuba menasihatkan Ain Wahida yang seolahnya telah tenggelam di dalam lautan cintanya yang tidak terkawal.
“You berpura-pura melupakan kehangatan tubuh wanita!” Ain Wahida memejamkan matanya lalu bibirnya cuba menyentuh bibir Aldi dengan nafasnya yang semakin deras.
“Ain! I abang ipar you!” Aldi bersuara keras dan terpaksa menolak tubuh Ain Wahida dengan kuat sehingga tubuh gadis itu terhumban di atas katil.
Ain Wahida benar-benar rasa terkejut dan terhina. Dia menangis tersedu-sedan.
Aldi terasa menyesal dengan tindakannya yang kasar itu apatah lagi apabila dilihatnya Ain Wahida tersengguk-sengguk menangis. “Maafkan I.” Suaranya lembut. Dia benar-benar rasa tersepit. Hendak dikasari lagi perempuan itu, Ain Wahida adalah bekas adik iparnya. Jika tidak dimarahi, tindakan Ain Wahida tadi keterlaluan dirasakannya. Mujurlah imannya masih kuat. Jika tidak hancur binasalah segalanya. Maruah gadis itu dan maruahnya juga. Namun mungkin, Ain Wahida seorang gadis yang tidak kisah tentang kehormatan dirinya.
“Please! I love you so much! Jangan tolak I mentah-mentah begini!” Sekali lagi Ain Wahida menerkam tubuh Aldi yang sedang berdiri di tepi jendela. Lelaki itu dipeluknya dari arah belakang.
“I’m sorry!” Aldi cuba meleraikan pelukan Ain Wahida yang kemas. Ikatan tuala dipinggangnya dipegangnya kuat-kuat.
“Ain Wahida! Esok you mesti tinggalkan hotel ini dan balik ke semenanjung! Malam ini you boleh tidur di sini! I pergi cari bilik lain! Tidur di tandas pun tidak mengapa!” Aldi gagal membebaskan dirinya daripada dakapan gadis itu kerana tidak mahu bersikap kasar seperti tadi.
“Tolong Ain! Jangan buat begini! I tak mahu bersikap kasar pada you sebab I hormati you sebagai seorang perempuan dan you adik isteri I.” Tangannya meleraikan Ain Wahida yang masih melekap di tubuhnya dengan kuat. Akhirnya pelukan Ain Wahida terlerai.


baca sambungan peristiwa ini..dapatkan novel ini di pasaran...

No comments:

Post a Comment