Wednesday, November 6, 2013

Mencari Sahabat

Mencari sahabat yang baik bukanlah suatu perkara yang mudah. Mencari sahabat yang baik ibarat mencari permata di dalam pasir.


Tuesday, August 20, 2013

Sepi tanpamu

sepi semakin menggigit
memamah
meratah
tangkai hati
saat engkau membisu
hati diulit rindu
ingin bertemu
entah bila
lorong itu akan membuka

tanpamu
aku sepi
tanpamu
aku rindu

Thursday, July 18, 2013

Cakap besar?Jangan kawan dengan aku!!

....kalau orang-orang disekeliling kita menganggap dirinya sahaja yang hebat…


Susah kalau ada spesis begini berhampiran dengan kita.  baik di rumah atau pejabat. baik di kalangan keluarga atau teman sekerja.

Contohnya begini..

Sketsa Pertama

Dulu aku ada seorang teman yang menganggap akulah temannya yang paling karib.  Pada waktu itu aku bekerja di sebuah kilang,jawatan pun hanyalah operator pengeluaran.  Sebenarnya aku tidak pernah menduga pun yang aku akan bekerja sebagai operator pengeluaran selepasa tamat persekolahan.  Selepas tamat STPM, keluarga tidak mampu untuk terus membiayai pengajianku lantas aku pun melamar pekerjaan di kilang itu.  Tersasarlah cita-citaku untuk menjadi peguam, pensyarah atau akauntan.

Dipendekkan cerita, di kilang itu M mula berbaik denganku setelah berkenalan denganku di production.  Kata M dia sangat menyayangi dan menyenangi sikapku.  Aku menerimanya sebagai sahabat seadanya tambahan pula aku merantau di negeri orang. M pula orang tempatan. Persahabatan aku dengan M berjalan dengan baik walaupun aku kadangkala terluka dengan kata-kata M yang sesekali ke angkasa tinggi, tidak mampu aku menggapainya.  Maklumlah siapalah aku.

Satu hari M memberitahu aku dia ingin mengikuti kelas menjahit.  Dia memberitahu aku begini.
‘M memang teringin sangat hendak belajar menjahit tu.  Tak kisahlah walaupun terpaksa membayar setengah ribu pun’,  Aku hanya tersenyum sebab pertamakali mendengar orang membuat kenyataan begitu.  Biasanya orang akan menyebut lima ratus.  Tetapi biasalah, ribu bukankah lebih besar dari ratus?  Tentulah orang yang sanggup mengeluarkan ribu-ribu ni orang yang banyak duit….aku ni..ada seringgit dua aje..

Dipendekkan cerita baru 2 minggu M belajar menjahit dia mendapat tawaran ke IKM Terengganu.  Dia pun mengambil keputusan untuk ke Terengganu. Aku sedih juga, maklumlah M satu-satunya teman rapatku.  M menangis sewaktu hari terakhir kami bersama.  Dia sedih sangat untuk berpisah denganku.  Itulah katanya.
Sebulan selepas itu, M bercuti dan datang ke kilang tempatku bekerja semata-mata untuk bertemu denganku yang sangat dirinduinya, katanya.  Dia bersembunyi di sebalik tiang besar di dalam kilang dan mengintai aku dari jauh.  M tidak sabar-sabar menunggu siren yang menandakan waktu tamat kerja bagi semua operator pada shift itu.

Dia terus meluru dan memeluk aku sebaik sahaja kami bertemu.  M pada hari itu memakai gaun berwarna putih beropol-ropol.  Sebelum ini M hanya berbaju kurung sahaja.  Kami pun berbual dan bercerita.  Dalam pertemuan itu M menceritakan yang dia telah mendapat tawaran bekerja di TNB…Aku mengucapkan tahniah kepadanya.  Aku juga yang meneruskan kerja sebagai operator.

Kerap juga M menalipon aku di rumah.  Perbualannya seperti selalu.  Maklumlah, orang dah bekerja di sebuah syarikat koperat.  Aku minah kilang…

Pada suatu hari M menghubungiku di rumah sewaku.

Ceritanya begini.

‘Sekarang ni M hari-hari main computer.  Tak sangka pula bidang yang asing pada M dulu akan menjadi biasa pada M’.  M pun bertanya kepadaku. Ju kat tempat kerja ada pegang computer tak? (sedangkan dia sudah tahu, pada waktu itu aku hanya operator, bukannya staf di pejabat sudah tentu tidak terlibat dengan penggunaan computer)

Secara kebetulan pada waktu itu aku memang sedang mengikuti kelas computer.  Aku  pun menjawab sejujurnya. ‘Sekarang ni Ju sedang belajar computer. Program Lotus dan Wordstar’.  M ketawa besar sewaktu mendengar jawapanku lalu dia memberi komentar begini’, apalah ju ni! orang belajar komputer apple ke..apalah! (hinanya aku rasa), aku letakkan talipon. 

Sebulan selepas itu M menghubungi lagi.  Sebelum itu dia ada menghubungi seorang teman kami yang masih bekerja dikilang denganku.  M ada berpesan kepada Kakak N dan memberi nombor taliponnya kepadaku.  Aku tawar hati untuk menghubungi M kerana selalu berasa rendah diri apabila mendengar kata-katanya.

Dalam perbualan itu M mula-mula menyuarakan isi hatinya yang agak berkecil hati dengan sikapku.

‘Sampai hati Ju tak talipon M.  Asyik M aje yang teringat-ingat pada Ju’, begitulah katanya.  Pada hari itu M bercerita kepadaku yang dia baru membeli Microwave berharga lebih RM4000.00.  Dia pun bertanya kepadaku, sama ada aku akan mengikut langkahnya untuk menggunakan Microwave.  Aku hanya ketawa kecil.  M seterusnya berkata begini.
‘Ju nak tau tak.  Sekarang ni M sibuk sangat.  Tambah-tambah pula M kena ikut kelas memasak menggunakan Microwave ni.  Ju taulah kan..orang macam M ni kenalah masak-masak gunakan Microwave…….(amboii tingginya M jika dibandingkan dengan aku ni)

Pap! aku terus meletakkan gagang talipon.  Sejak hari itulah aku tidak mendengar suara M lagi.  Dan aku pula tidak berasa rugi…

Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya…aku tetap begini..siapalah aku!  Hampir 20 tahun aku dan M terputus hubungan..aku tetap mengenanginya..namun untuk menghubunginya mungkin tidak kerana ..hatiku telah terluka..

Sketsa Kedua

Teman-teman sepejabat sedang membincangkan tentang sebuah drama di televisen yang sedang popular.  Aku hanya mendengar dari jauh.  Sebenarnya, perdebatan dalam soal-soal begitu aku tidak minat untuk ikut serta…siapalah aku ni..lebih baik aku buat kerja aku.

Dalam perbincangan mereka itu, aku mendengar salah seorang daripada mereka mengatakan yang jalan cerita drama itu sudah mulai merepek.  Drama itu baik di awal ceritanya sahaja.  Aku tidak memberi apa-apa ulasan  sebab aku tidak menonton sangat drama tersebut.  Lagpun pada aku, drama itu hanyalah karya fiksyen bersasarkan kreativiti penulisnya. Sudah tentu ada babak-babak atau perwatakan yang kadangkala tidak munasabah untuk menarik penonton.  Tiba-tiba aku mendengar salah seorang yang sedang memberikan pendapatnya tentang drama itu berkata begini..dengan suara kuat.
“Saya tak mahu tengok drama itu lagi! Dah merepek-repek. Macam novel Juriah-merepek-repek”

Pulak! apa kena mengenanya drama itu dengan novel yang aku tulis.  Masyaallah.  Beginilah perangai manusia.  Berkata sesuatu sesedap mulutnya sahaja tanpa mengira perasaan orang yang mendengarnya…maklumlah siapalah aku..kan! Biarlah mereka terus menganggap diri mereka hebat atau terhebat
aku..tetap begini…. Bakat yang ada padaku pinjaman daripada ALLAH..

Aku tetap juga akan berkarya! Biarlah orang melabelkan novel aku apa pun..sekurang-kurangnya ada juga penerbit yang menghargai bakatku..5 buah novel telah diterbitkan dan dijual seluruh Malaysia..ada juga orang membeli dan membacanya…ada juga rezeki untukku dari bakat yang dianugerahi ALLAH ini…walaupun tulisanku diperlekehkan….

sedarlah wahai hati..Yang hebat itu hanyalah ALLAH…Sombong itu selendang ALLAH…sifat ujub dan riak itu akan memakan segala amal ibadahmu..janganlah sampai dirimu muflis di hari akhirat nanti…(ingatan untuk diri sendiri)




Tuesday, March 5, 2013

Rintihan Hati Seorang Aku...





Apakah erti perkahwinan bagi seorang 'aku'
Bagai taman bunga yang penuh warna warni?

TIDAK!

Bahkan ianya bagaikan lautan yang maha dahsyat
dan kejam
menelan aku dalam gelombangnya....

Sampai satu saat
aku telah tidak berdaya lagi
lemas dan meronta
tapi
siapa yang peduli.....?



Setiap saat sepi menghimpit
setiap detik batin menjerit
hendak dilimpahkan airmata
di dada siapa...?

derita ini

akan adakah hujungnya
kelukaan yang kian parah
bisakah ditemukan penawarnya..

atau


derita itu mendakap setia

sampai ke ujung nyawa....

akan kupujuk hati ini

sendiri
bahagia ini bukan milikmu
gembira bukan kepunyaanmu
genggamlah ukiran duka yang terpahat dijiwa..
jika itu memang sudah 
ditakdirkan untukmu....

Thursday, January 31, 2013

Puisi -Saat Engkau Pergi



Bila kulihat engkau pergi
Untuk bersama dia
Sedang aku semakin mendekat
Batinku bertempur hebat
Antara rindu yang mengikat
Dan cemburu yang semakin lebat
Namun aku tidak dapat menghalangmu
Hanya memandang
Dalam debar hati yang semakin bergoncangan…..

Tuesday, January 29, 2013

Hanya Kenangan


JABATAN PELAJARAN PERAK

Selepas berkhidmat disektor swasta lebih kurang 14 tahun,saya berkhidmat di sektor awam mulai Mei 2002.Jabatan Pelajaran Perak tempat posting saya yang pertama sebagai penjawat awam.Saya bertugas di Unit Pencen.Kini segalanya tinggal kenangan.Saya telah bertukar tempat bertugas dan kembali ke daerah Kuala Kangsar.