Thursday, October 25, 2012

Puisi Cinta Terpinggir

Tidak kutahu apa yang berlagu dihatimu

Kejerihan dan kepayahan
Sukar kutemukan jawapan
Perjalanan yang maha panjang
Mencari kasih yang hilang

Kasih yang datang
Kemungkinan hanya bayang
Cinta abadi yang ditemui
Mungkin hanya ilusi

Entah berapa lama begini
Benar-benar otakku beku
Untuk memahami hatiku ini
Menagih, meminta simpati kasih darimu

Keterlaluankah aku
Melukut di tepi kasih sayangmu
Buat menenangkan jiwa seketika
Supaya ia tidak meronta-ronta
Untuk aku terus lalui hari-hari
Walau dengan apa cara
Tenggelamkah aku
Atau hanyut entah ke mana.

Puisi Kuingin Dikasihi


terlontar kembali aku
                   ke lembah derita yang paling dalam
                   memerit-pedihkan kalbu yang terbungkam
                   hendakku limpahkan airmata
                   di dada siapa
                   ingin bercerita
                   aku kehilangan kata
                   keseorangan aku
                   getus suara hati menjerit laung
                   tidak terdengarkan kecuali
                   tuhan, hanya tuhan
                   tertunduk aku merenung, menghitung
                   lama dan dalam
                   ingin saja kubenamkan diri
                   ke lubuk hati
                   kerdilnya aku
                   oh tuhan
                   oh tuhan
                   haruskah perempuan ini
                   terus berpasrah
                   dalam kelukaan yang semakin parah
                   di temani adam yang tidak mengerti
                   asal hawa dari rusuk kiri seorang lelaki
                   dekat di hati
                   sepatutnya dikasihi dan dilindungi
                   bukan dizalimi.
                                     

                  

MAAFKAN AKU SUAMI




MAAFKAN AKU SUAMI……….

Suamiku
Terbiar aku di persisiran duka
Ombak keinginan terhempas ganas
Ingin dibelai, dimesra,dicinta,dimanja

Di dalam kemelut rindu
Aku menelusuri jalan-jalan hati
Berteman sepi dan sunyi yang tersembunyi
Terbisik bicara kasih
Menabur kedukaan pedih

Tidak terduga
Tercantumlah setitik rasa
Di pelusuk jiwa
Walau enggan dipenuhi
Terpaksa mempeduli
Demi secebis kasih
Yang kami tagih.

Suamiku
Maafkan aku
Terpaling seketika
Aku yang terlupa, kembali terjaga
Menjerat hati, memecah setia
Kenyataan itu memang menyiksa
Harus diterima
Maafkan isterimu ini
Di dakapan kasihmu aku ingin kembali.
Jika derita ini tidak kau ulangi.

Kata-kata puitis






1.     Perjuangan melawan kekuasaan adalah perjuangan ingatan melawan lupa

2.     Melayari kehidupan yang bergelora memerlukan jiwa yang perkasa, tidak lemah, harus gagah.

3.     Semoga terus gagah dan tabah menghadapi dugaan dari Allah meskipun sesekali tertebar resah

4. Kehidupan ini satu perjuangan,  kekecewaan itu satu pengalaman.  Pengalaman itu akan mendewasakan pemikiran jika kita menjadikan ia sebagai satu renungan dan ingatan untuk menempuh hari depan.

5. Kehidupan ini harus dan mesti diteruskan, bagaikan air sungai yang tetap mengalir walaupun lesu, walaupun sarat walaupun sebak.


6. Apabila keresahan semakin menebal, cintapun semakin menipis.

7. Ada ‘insan’ yang terbenam di dalam keinginan memenuhi tuntutan fizikal tanpa mengira spritual mungkin baginya itu yang utama. 

8. Manusia-manusia yang tidak memahami seringkali memaksa insan lain menjadi dirinya kerana sebenarnya dia telah kehilangan diri.

9. Aku cukup mengerti yang hatimu terlalu liar dan hatiku pun tidak jinak.

10. Aku tidak mampu untuk memenuhi keperluan yang menjadi tuntutanmu bahkan aku tidak menduga cintamu boleh dinilai dengan mata benda.


11. Dalam hidup mesti menempuh kedukaan, kerana hidup adalah perjuangan..