Thursday, September 22, 2011

PETIKAN NOVEL: SEBELUM NAFAS TERHENTI- BAB 37


SUDAH lima hari Ain Wahida berada di Kuala Lumpur. Dia balik bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa. Aldi ada menghubunginya dan menawarkan bantuan. Aldi menyuruh Wak Dollah datang menjemput Ain Wahida di Johor Bharu, namun dia menolak. Dia ingin segera balik ke Kuala Lumpur kerana dia ingin membuat perhitungan dengan Hakim. Lelaki itu harus dicari segera.
Berulangkali dia menghubungi Hakim melalui telefon bimbitnya. Namun lelaki itu tidak mengendahkannya. Dia ada mengirimkan SMS kepada lelaki itu, menceritakan tentang pemergian ayah untuk selama-lamanya. Hakim tetap menyepi dan membisu. Seolah tidak ada apa-apa perhubungan antara mereka. Dia menelan air liurnya berkali-kali. Hatinya terlalu kecewa dan hampa dengan sikap Hakim.
Dia mengelamun lagi. Semalaman dia begitu. Semenjak pertemuan dengan Hakim terlalu banyak persoalan yang timbul difikirannya. Dadanya bertambah berdebar apabila terkenang kembali saat-saat bersama Hakim di bilik hotel itu. Lelaki itu penuh dengan misteri. Itulah yang menerjah di fikirannya.
Dalam pertemuan itu Hakim sempat bercerita kepadanya yang dia selalu mempunyai hubungan dengan isteri-isteri orang. Para isteri yang kesepian. Yang selalu diabaikan oleh sang suami. Dia agak terkejut, apabila Hakim bercerita dan memberitahu yang dia melakukan ‘kerja’ itu sebagai kerja sambilannya. Dengan megah tanpa rasa berdosa dan bersalah di atas segala maksiat yang telah dilakukannya, Hakim bercerita kepadanya, walaupun itu adalah pertemuan pertama mereka. Bahkan mengakui sedang mencari seseorang wanita untuk ‘memeliharanya’ dan mendapat ganjaran hasil kerja melayani nafsu mereka.
Dia akui. Dia pun bukan seorang gadis yang baik atau mulia walaupun ramai kawan-kawan yang sama bidang dengannya, tidak kisah jika ditiduri oleh mana-mana lelaki, namun dia tidak sanggup untuk melakukan itu semua. Memang dia pernah menggoda Aldi. Namun Aldi seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan di atas tawaran yang diberikan kepadanya daripada seorang wanita. Itulah yang menyebabkan dia bertambah suka kepada bekas abang iparnya itu.
Aldi tidak pernah mengajaknya pergi ke kelab malam, dangdut atau disko untuk berhibur. Aldi tidak merokok dan sudah pasti tidak minum arak. Aldi tidak tunduk kepada kekayaannya untuk berseronok-seronok dan berhibur dengan perempuan-perempuan.
Dia bergolek-golek di atas tilam di dalam biliknya sambil membaca majalah. Helaian demi helaian majalah itu diselak. Tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya. Sesekali dia menekan nombor-nombor di telefon bimbitnya. Bola matanya tiba-tiba menyinggahi satu artikel di dalam ruangan Mutiara Hati. Ruangan yang tidak pernah mendapat perhatiannya selama ini. Selepas itu sekali lagi dia cuba mendail nombor telefon Hakim.
“Helo, sayang!”
Akhirnya panggilan telefonnya dijawab oleh Hakim. Ain Wahida mencebikkan bibir. Jarang-jarang berbual dan beramah mesra, tiba-tiba membahasakan ‘sayang’. Telinganya terasa janggal mendengar ucapan itu.
“Bila kita boleh berjumpa?” soal Ain Wahida dengan nada lembut. Dia tahu semua lelaki tidak suka kepada perempuan yang berbahasa kasar.
“Anytime, sayang!” jawab Hakim dengan nada perlahan.
“Hakim pergi ke mana? Selalu Ain call, tapi Hakim tak jawab!” Ain Wahida sedikit merungut.
“Oh! Maaflah, saya pergi ke selatan Thailand. Pergi bersuluk dekat sekolah pondok di sana!” terang Hakim.
“Pergi cari apa di sana?” tanya Ain Wahida kerana tidak mengerti dengan perkataan bersuluk itu.
“Pergi mencari Tuhan!” Suara Hakim seolah berbisik.
“Cari Tuhan?” Ain Wahida bertanya lagi, namun tanpa sempat menjawab, talian telefon telah terputus. Begitulah karektor Hakim. Karektor yang sering menyebabkan Ain Wahida makan hati. Mengapa harus mencari Tuhan sehingga ke selatan Thailand? Sejahil-jahilnya dia mengerti dan faham ALLAH itu ada di mana-mana.
KEESOKANNYA mereka bertemu di sebuah restoran. Hakim petah bercerita macam bertih digoreng. Ain Wahida hanya menjadi pendengar yang setia kerana dirinya sendiri ada perkara penting yang hendak diceritakan.
“Seronok ke berada di sana? ” Ain Wahida mencelah di tengah-tengah penceritaan Hakim.
“Alhamdulillah. Rasa tenang. Tak ada gangguan. Tiap hari mendekatkan diri kepada ALLAH. Zikir, tasbih, tahmid, tahlil. Setiap pagi ada qiamullail.” Cerita Hakim sambil mengusap jambangnya yang agak panjang. Mungkin tidak digunting sepanjang waktu dia berada di sana. Jambangnya yang panjang sudah bersatu dengan bulu yang tumbuh dilehernya. Hitam dan kerinting. Dia memakai baju T warna coklat muda.
“Dapatlah bertemu dengan apa yang Hakim cari tu? Dapat bertemu TUHAN?” Ain Wahida cuba menguji.

baca cerita seterusnya tentang lelaki bernama ABDUL HAKIM BIN ROSLAN ini..di dalam novel


novel: SEBELUM NAFAS TERHENTI
PENULIS: JURIAH ISHAK
PENERBIT: ALAF 21

No comments:

Post a Comment