Friday, July 22, 2011

PETIKAN NOVEL: SEBELUM NAFAS TERHENTI


DUA minggu Nurlisa menyuapkan makanan untuk lelaki itu. Tidak sekali pun dia mengucapkan terima kasih kepada gadis itu. Kini tangannya sudah sembuh. Tidak perlu berplaster lagi. Luka di tangan sudah tidak ada parutnya pun. Keadaan tapak tangannya kembali seperti sebelumnya. Aldi melihat telapak tangannya, kemudian merenung ke dua kakinya pula. Mengapa kakinya tidak mahu sembuh? Bukankah telapak tangannya juga mengalami kecederaan tetapi boleh sembuh. Mengapakah kakinya tidak sembuh-sembuh?
“Buat apa kamu datang? Aku belum panggil lagi! Kalau aku tidak panggil jangan datang. Pergi!!!” Suaranya amat perlahan tetapi singgah juga ke telinga Nurlisa yang menghampirinya dengan terhincut-hincut.
“Tapi, tadi encik panggil saya!” Nurlisa bersuara selamba dan bersahaja. Dia merenungi wajah Aldi sambil melontarkan senyuman. Memang lelaki itu yang memekik memanggilnya melalui interkom. Matanya masih memandang wajah lelaki yang tidak pernah dilihatnya mengukir senyuman sejak dia berada di rumah itu. Aldi masih berwajah keruh dan masam. Hanya jambangnya kelihatan kemas sedikit.
“Nak saya bacakan surat khabar?” Nurlisa mengingatkan Aldi. Setiap hari selepas sarapan lelaki itu akan meminta dia membacakan surat khabar. Matanya terus merenung Aldi yang membaluti tubuhnya dengan baju T kuning berbelang hitam dan berseluar sukan warna hitam.
“Baca surat khabar?” Aldi menyoal Nurlisa kembali dengan tegas dan matanya merenung ke arah lain. Dia seolah terlupa pada rutin itu.
“Ya, encik.” Nurlisa menjawab perlahan. Dia menunggu arahan daripada Aldi dengan sabar. Aldi kembali membisu tanpa kata. Diam tanda bersetuju. Beberapa bulan bersama lelaki itu, Nurlisa seolah dapat membaca kehendak hati Aldi.
Aldi menggerakkan kerusi rodanya dengan tangannya. Dia bergerak menuju ke balkoni yang berada di hujung kamarnya. Dari sana dia dapat melihat suasana di persekitaran hadapan vila itu keseluruhannya. Nurlisa terhincut-hincut mengekorinya sambil membawa akhbar harian.
“Budak! Baca tajuk berita di semua muka surat! Semuanya sekali!” Aldi mengarahkan Nurlisa yang berdiri bersandar ke tiang berbentuk seni bina Rom itu.

Pemuda kecewa putus cinta, membunuh diri. Mat rempit semakin mengganas. Tuntutan kenaikan gaji oleh Cuepacs.

Begitulah, Nurlisa membaca dengan jelas dan terang sambil berdiri. Aldi seolah ingin menderanya. Bukan sahaja tidak menyuruh gadis itu duduk di kerusi yang berada di hadapannya bahkan menyuruh Nurlisa membaca tajuk yang sama berulang-ulang kali dengan kuat dan jelas.
“Baca balik muka surat lima!” Aldi mengarahkan lagi. Dia melihat Nurlisa dengan ekor matanya. Di wajah gadis itu mempamerkan ketulusan hatinya.
“Ulang balik muka surat sepuluh! Baca dengan kuat!” Begitulah kata lelaki itu berulang kali. Matanya masih merenung ke wajah Nurlisa yang sedang menunduk. Tidak ada riak marah yang terlukis di wajah gadis itu. Dia tetap tenang dan bersahaja. Bacaannya tetap jelas.
“Baca balik kisah pemuda yang bunuh diri tadi! Baca! Baca!” Tiba-tiba Aldi menengking dan mengulang-ulang permintaannya macam orang hilang akal. Dia menggerak-gerakkan kerusi roda ke depan dan kebelakang.
Apa yang diminta, Nurlisa tetap membaca dengan sabar dan tenang. Surat khabar yang dipegang diselak ke depan dan ke belakang berkali-kali, berulang-ulang.
“Eh budak! Buat apa kamu baca? Berulang-ulang?” Mata Aldi merenung ke mata Nurlisa.
Nurlisa menundukkan wajahnya apabila tajamnya renungan mata lelaki itu seolah menusuk ke hatinya.
“Encik yang suruh!” Nurlisa menjawab selamba sambil menggigit bibirnya.
“Berapa lama kamu berdiri di situ? Tak rasa sakit kaki ke? Tak ada rasa lenguh ke? Tak ada rasa marah ke?” Aldi menyoal lagi dengan serius dan nada suara yang tegang.
“Tidak, encik. Saya pernah berdiri lebih lama dari ini. Saya yang pilih. Saya hadapi semuanya dengan sabar, tidak perlu merungut, encik.” Nurlisa menjawab dengan nada perlahan. Ekor matanya mengerling lelaki itu yang dilihatnya berpura-pura merenung ke arah lain. Sememangnya dia sudah biasa dengan kesusahan, keperitan hidup. Dia redha menempuhi segalanya kerana faham kehidupan di dunia ini hanyalah jambatan menuju ke kehidupan yang lebih kekal. Tidak diciptakan manusia selain untuk diuji oleh TUHAN yang memiliki langit dan bumi. Dia harus bersabar untuk menempuhi segalanya. Dengan ikhlas dan berlapang dada.
“Kamu jawab apa yang aku soal saja!” Aldi menghampirkan kerusi rodanya kepada Nurlisa yang sedang berdiri berhampiran tiang. Jawapan daripada gadis itu tadi, membuatkan hatinya terfikir sejenak.
“Luka di tangan aku boleh sembuh dalam masa dua minggu. Mengapa kaki aku tak boleh sembuh? Aku nak berjalan balik! Aku nak berlari! Aku nak bawa kereta!” Suara Aldi bertambah nyaring sambil menampar-nampar pehanya. Dia kelihatan tidak karuan kembali.
“Kau rawat luka ditangan aku sehingga jadi baik! Mengapa kau biarkan kaki aku begini? Jawab!” Aldi menengking Nurlisa. Suaranya keras.
Nurlisa beristighfar di dalam hati.
“Encik, beristighfar banyak-banyak encik! Bukan saya yang sembuhkan tangan encik. Sihat dan sakit, kepunyaan ALLAH. Dia yang berkuasa menyembuhkan, bukan kita. Kita hamba ALLAH. Kita tidak ada apa-apa kuasa pun encik. Kalau ALLAH nak beri kesihatan yang baik, dia akan beri kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Kalau ALLAH hendak memberi penyakit, dia akan memberi kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Sebagai hamba-NYA yang kerdil, kita kena terima segala yang ALLAH telah tentukan kepada kita encik.” Pertama kali, Nurlisa berbicara panjang lebar dengan lelaki itu. Tanpa rasa takut, dia meluahkan apa yang ada di dalam fikirannya. Itulah kebenarannya. Segala-galanya ALLAH yang menentukan.
“Ini semua ujian untuk kita. Walau apa pun kita harus bersyukur dan sujud kepada-NYA kerana DIA yang maha besar, maha agung.” Sambung Nurlisa lagi. Bagaimanapun, nada suaranya tetap tidak berubah. Tenang dan lembut. Tengkingan dan sergahan daripada lelaki itu langsung tidak menggoyahkan sikapnya. Dia yang selalu bersikap lembut dan tenang.
“Syukur? Sujud? Hey budak! Kamu menyindir aku, ya!” Sambil bersuara garang, jari telunjuk Aldi dihalakan ke wajah Nurlisa.
Nurlisa terkejut dan berasa sedih dengan sangkaan itu. “Ti... tidak encik! Saya tidak berniat menyindir encik.” Suara Nurlisa sayu.
“Saya jawab soalan encik, kerana ALLAH.” Ada air jernih berkumpul di penjuru matanya. Bagaikan terhiris, pedih hatinya kerana tuduhan itu, sedangkan dia tidak sedikitpun berniat untuk mengguriskan hati lelaki itu.
“Tempang! Sudah! Pergi dari sini! Aku mahu bersendirian!” Aldi menggerakkan kerusi rodanya dan beralih ke tepi pagar balkoni yang menghala ke arah barat rumahnya. Pandangan matanya dilontarkan ke arah halaman rumah.
Nurlisa benar-benar terkejut dengan panggilan yang diterimanya daripada Aldi. Dia tidak pernah berkecil hati apabila Aldi memanggilnya dengan panggilan ‘budak’ walaupun sudah berbulan dia bekerja dirumah itu. Namun panggilan atau gelaran tempang begitu mencarik perasaannya. Hatinya bagai direntap dan dicarik-carik sehingga menjadi berkeping-keping.
Sudahlah begitu, dirinya diusir pula seolah kucing kurap yang tidak diperlukan. Walaupun sudah berkali dia dihalau begitu, namun pada hari itu, usiran yang diterima walaupun dalam nada perlahan amat menyentuh hatinya. Kata penghinaan yang dilemparkan oleh Aldi sebentar tadi benar-benar telah meremukkan hatinya.
Nurlisa yang terhincut-hincut ketika berjalan, segera meninggalkan bilik Aldi. Air matanya menanti masa untuk mengalir deras di pipinya. Suara esakannya terpaksa ditahan sehingga dadanya dirasakan seolah akan meletup.
Aldi melontarkan pandangannya ke arah lain. Tidak ingin melihat susuk gadis itu yang terhincut-hincut berjalan meninggalkan dirinya. Dia menekup pipi dengan telapak tangannya. Menahan air mata yang tertumpah. Nafasnya seolah terhalang seketika. Apabila dia berpaling, Nurlisa sudah pun tiada. Matanya merenung langit yang tiba-tiba kelihatan mendung. Titis-titis gerimis tidak semena-mena menghadiri bumi, seolah langit pun sudah terluka dan menitiskan air mata seumpama hati gadis itu.


BACA SAMBUNGAN SETERUSNYA....DAPATKAN NOVEL INI DI PASARAN..

NOVEL SEBELUM NAFAS TERHENTI, PENERBIT ALAF 21, PENULIS JURIAH ISHAK