Sunday, February 28, 2010

KOLEKSI PUISIKU

MAAFKAN AKU SUAMI……….

Suamiku
Terbiar aku di persisiran duka
Ombak keinginan terhempas ganas
Ingin dibelai, dimesra,dicinta,dimanja

Di dalam kemelut rindu
Aku menelusuri jalan-jalan hati
Berteman sepi dan sunyi yang tersembunyi
Terbisik bicara kasih
Menabur kedukaan pedih

Tidak terduga
Tercantumlah setitik rasa
Di pelusuk jiwa
Walau enggan dipenuhi
Terpaksa mempeduli
Demi secebis kasih
Yang kami tagih.

Suamiku
Maafkan aku
Terpaling seketika
Aku yang terlupa, kembali terjaga
Menjerat hati, memecah setia
Kenyataan itu memang menyiksa
Harus diterima
Maafkan isterimu ini
Di dakapan kasihmu aku ingin kembali.
Jika derita ini tidak kau ulangi.

tak rela dilukai

relakah aku terus dilukai
kerana berteduh kasih dihatimu
hati ini terus dikoyak
samakah ertinya
kasihku, kasihmu
kasih kita
jika benar seperti yang kau kata
dengan nilai ringgit atau dolar

mudahkah cintamu ditukar ganti
pabila ringgit mengambil tempat kasihku dihatimu
mestikah aku terus bertahan?

biarku pergi,
walau kasih tak pernah berhenti
kerana hati ini
tak rela dilukai.

Sunday, February 7, 2010

Untukmu Kekasih

Dikala suaramu memeluk seluruh hatiku
Aku yang penuh harap
Terasing di dalam resah rindu
Mengalirkan hiba luka
Tak tersampaikan juga
Yang terpendam di jiwa
Engkaukah yang bertandang
Di kala hati kegelisahan
Ingin aku memiliki hati
Cinta dan dirimu
Walau sesaat waktu
Aku akan sabar menunggu
Dalam kepasrahan
Derita ketabahan
Terus merindu.
Maafkan Aku

maafkan atas segalanya
ada ketikanya aku menabur kemanjaan
pada waktu yang lain
kutebarkan kemarahan kecil dalam gurauan
dan kadang-kadang
aku sengaja mewujudkan keterasingan
antara kita berdua

nasihat bersulam rindu
sindiran terpintal bersama cinta
untuk kau teliti dan fikiri
untuk apa…kerana apa…
seteguh manakah jiwamu
sekuat manakah cintamu
samakah seperti yang selalu diucap

belaian, kasih sayang, kemanjaan
menyuburkan jiwa,
kutukan, hinaan akan menyebabkan satu bangsa itu
bersemarak semangat bangun meletakkan diri
di tempat yang paling tinggi

untuk berjaya
mencapai cita-cita,mempertahankan cinta
jiwamu mesti perkasa
tidak rebah walau digoncang gegar
oleh sesiapa juga
walau dari seorang kekasih
yang harus dihadapi ranjau dan durinya bukan sedikit
semangatmu mesti teguh berdepan dengan apa saja
tidak terlena dengan pujukan kasih
mesti sentiasa berjaga……..
usaha harus lebih tinggi dari langit
tidak pandang mudah walau pada perkara yang sekelumit

maafkan atas segalanya
waktu untuk kita semakin singkat
aku ingin menyaksikan kejayaanmu
sebelum berangkat
carilah…terokailah yang manisnya
di sebalik kata-kataku yang pedih
kerana hanya dirimu yang kukasih

maafkan sekali lagi

Wednesday, February 3, 2010

Ceritera Cinta Dilukakan

cerita ini tidak akan berulang
cinta ini tidak akan berulang
keceriaan ini tidak akan berulang
segalanya tinggal disini
berakhir disini
terkubur disini
kutemui dirimu disini
kau bina impian dan harapan juga disini
lalu hatiku dicalar balar juga disini
dalam tangis.






Kalaulah angin dapat berlagu
Akan kupinta ia dendangkan
Lagu rindu untukmu
Jika rembulan bisa berkata
Akan kukirimkan pesanan cinta buatmu
Seandainya sang awan boleh melukis
Akan kupinta ia lakarkan namamu
Di langit biru
Lalu suatu waktu
Seandainya tuhan memberi restu
Untuk kita menyatu
Maka
Sang angin, rembulan dan awan
Akan menjadi saksi
Agungnya cintaku terhadapmu


Perempuan itu, dibelengu derita

Aku bentangkan kasih di ribaan mentari
Kasih terbakar menghangusi diri
Aku hamparkan sayang di dakapan bulan
Bulan meretak, sayangku tercampak
Aku benamkan cintaku di jiwa manusia,
aku kecewa, hati terluka
Dosa apakah yang terpikul
Janji apakah yang telah tertulis
Mengharapkan sekelumit kasih
Kepedihan tidak pernah selesai
Mengimpikan secubit sayang
Penderitaan berpanjangan
Mendambakan secebis cinta
Seluruh impian dikoyak carikkan
Diri dilontar ke rimbunan sepi
Hati dicampak ke lautan api
Jiwa di humban ke belantara sengsara
Nafas pun semakin menyesak
Sedang kehidupan belum lagi sudah
Dan penderitaan itu belum bernoktah

PUISI KASIH

Pertamakali kuekori dirimu dengan penjuru mataku
Degup debar bergemuruh dijantungku
Pertamakali kudengar suaramu
Menyentuhi gegendang telingaku
Laluan kasihku terbuka untukmu
Pertamakali kulihat senyuman
Yang menghiasi seraut wajahmu
sambil melambaikan tangan pada petang itu
Seolah menembusi pintu hati yang terkunci kian lama
Pertama kali kita bertentang mata
Sambil tangan menjabat mesra
Aku benar-benar pasti
Dirimulah yang aku cari