Thursday, October 6, 2011

PETIKAN NOVEL:REDHA TAKDIRMU BAB 50




KETENANGANKU benar-benar tergugat dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Aku terkenangkan Idham yang sudah pergi buat selamanya. Aku tidak boleh lupakan Syamil. Aku ingin menghubungi Syamil untuk memberitahunya kejadian malang yang menimpa Idham, ekoran panggilan telefon yang telah dibuat oleh isterinya itu. Namun, hatiku tersepit antara keinginan yang meronta dan ketakutan yang menggila. Aku bimbang, jika aku menghubungi Syamil dengan menggunakan telefon bimbitku, panggilan itu akan disambut oleh Norshakila. Aku yakin semenjak peristiwa itu, perempuan itu akan terus mengawal segala pergerakan Syamil.
Aku teringatkan janjiku. Janji dengan diri sendiri. Janji untuk mengembalikan wang yang digunakan Syamil untuk membeli barang emas yang dikembalikannya kepadaku. Sungguhpun barang-barang emas itu telah aku buang, aku tetap akan membayar harga perbezaan itu. Walaupun peristiwa itu sudah enam bulan berlalu, Syamil sedikit pun aku tidak boleh lupakan walaupun sesaat. Ketenangan mungkin tidak aku perolehi sekiranya aku tidak menunaikan janji yang telah aku buat dengan diri sendiri.
Sementara mencari kembali nombor akaun Syamil yang hilang dari simpanan, puas aku berperang dengan perasaan sendiri. Aku terkenangkan perangai buruk Syamil yang telah membohongi dan mengkhianati kasih sayangku kepadanya. Aku juga teringatkan kebiadapan Norshakila yang telah menghumbankan aku di dalam kesengsaraan. Aku juga terbayangkan bagaimana keadaanku sewaktu dibelasah oleh Idham gara-gara aduan palsu yang dibuat oleh perempuan itu. Betapa hinanya aku rasa.
Air mataku deras mengalir sewaktu mengingatkan kembali bagaimana keadaan Idham yang terlantar di ICU selama beberapa hari kerana tekanan darah tinggi gara-gara panggilan telefon dan aduan-aduan yang telah dilakukan oleh wanita durjana itu. Idham telah mengalami stroke akibat tekanan darah tinggi, pendarahan otak sehingga menyebabkan dia pengsan di subuh itu. TUHAN sahaja yang mengetahui bagaimana aku menghadapi kesukaran-kesukaran itu. Aku terpaksa memberi komitmen yang padu kepada Idham sedangkan beberapa jam sebelum itu aku teruk dibelasahnya. Sungguh berat dan besar ujian daripada ALLAH untukku.
Akhirnya aku berjaya menemui nombor akaun Syamil tertulis di diari lama yang tersimpan di dalam laci pejabat. Lagi sekali aku menguji mereka. Sekiranya mereka jenis manusia yang mengutamakan maruah, berapa pun bayaran yang aku buat mereka tidak akan terima kerana logiknya aku tidak perlu membayar satu sen pun. Namun, demi maruahku serta teringatkan pesanan Idham, keesokannya aku terus memasukkan wang ke akaun Syamil. Dan aku mengutusi e-mail kepada mereka suami isteri.
Asalamualaikum, Encik Syamil dan Puan Noshakila.
Semoga sihat seisi keluarga.
Saya telah masukkan sejumlah wang ke dalam akaun Abang Syamil. Sememangnya saya telah berjanji dengan diri untuk membayar perbezaan jumlah harga, (emas) untuk memperolehi kembali emas 916 sejumlah berat yang dipinjamkan itu.
Saya tidak mahu mana-mana pihak terasa ralat atau merasa rugi, terpaksa mengeluarkan wang yang lebih kerana saya. Tambahan Abang Syamil tentu berasa rugi yang amat sangat.
Saya tidak pernah berniat untuk memerangkap sesiapa. Demi ALLAH tidak. Bahkan saya telah memberi tahu Abang Syamil yang saya tiada bertujuan untuk membuat keuntungan walau satu sen.
Saya tidak pernah marah dia menjual barang-barang itu. Walaupun sedikit kecewa kerana barang-barang itu semua sangat saya sayangi. Perkara telah terjadi apa nak buat lagi. Saya tidak kisah asalkan dia dapat gunakan wang hasil dari jualan barang–barang emas yang tidak seberapa itu untuk menyelesaikan masalahnya.
Saya faham, bila dia bercerita yang isterinya tidak dapat membantu kerana seorang surirumah tangga dan seorang sedang belajar. Saudara mara di kampung pula ada masalah yang tersendiri-tidak dapat membantu... itu yang diberitahu oleh Abang Syamil. Saya tidak kisah untuk menolong, tanpa rasa curiga dan tidak pernah bertanyakan jujur tidaknya, tanpa prasangka saya penuhi semua keinginannya sekadar yang saya mampu, jika dia di dalam masalah atau kesusahan.
Segala desakan-desakan saya kepada Abang Syamil bersangkutan hal hutang sama ada percakapan lisan atau sms atau e-mail hanya ingin menguji kejujuran, kasih sayang, sikap tanggungjawab, amanah serta hati budinya sahaja. Jawapan-jawapan yang saya perolehi melalui perbuatan atau sikapnya, SMSnya telah mencerminkan segalanya. Namun, saya tidak mahu komen apa-apa. Biarlah ALLAH saja yang menilai segalanya. Hanya TUHAN sahaja yang tahu apa yang di dalam hati hamba-NYA.
“Hani, mengapa masih nak ganggu abang?” Tanpa ucapan salam, persoalan yang tiba-tiba daripada puan sebaik sahaja saya mengangkat gagang telefon menyebabkan saya tidak dapat menjawab pada waktu itu kerana benar-benar tergamam, terpempan dan tidak menyangka hal tersebut. Mungkin dalam fikiran yang masih berserabut, perasaan terumbang ambing, kesihatan tidak begitu baik, mesej tersalah hala. Bagaimanapun hal telah berlaku dan saya pun telah dikasari suami secukupnya. Tempeleng, penumbuk, penampar, cubit dan kepala saya telah dihentak dengan al-Quran beberapa kali.
Malam itulah pengalaman yang dasyat dan paling buruk serta menyakitkan yang dialami sepanjang tempoh 12 tahun, tidak ingin meraih simpati sesiapa atau menyalahkan sesiapa. Saya redha, meskipun tubuh badan lebam-lebam, bengkak-bengkil serta berbirat. Terlupa segala bantuan yang pernah dihulurkan, tanpa usul periksa saya dilabel sebagai penggagggu, jahat dan dibelasah secukupnya. Saya diperangi seolah penjenayah. Adakah kerana hutang telah dibayar, puan berasa diri terlalu agung dan saya yang pernah berbudi kepada suami puan menjadi terlalu hina?
Jika memperlakukan kezaliman boleh mendatangkan kebahagiaan, kepuasan hati puan, saya terima. Mungkin telah tertulis di suratan hidup dan saya tidak berdaya mempertahankan apa-apa. Hilang suara, hilang kata. Habis air mata. Cemburu akan menutupi kemanusiaan, keburukan yang satu akan melenyapkan kebaikan beribu.
Sekiranya niat saya mengembalikan wang untuk menutupi kerugian atau keralatan di pihak puan atau Abang Syamil, dirasakan sebagai satu kesalahan atau dosa dan ingin menghukum saya, datanglah untuk jatuhkan hukuman sepuas hati, sekiranya itu boleh mendatangkan kegembiraan atau menambah keintiman puan suami isteri.
Tanpa niat memutuskan silaraturahim, perhubungan kami, yang dimulakan dan dinamakan oleh Abang Syamil sebagai ‘perhubungan terlarang dan cinta terhalang’ telah selesai.
TUHAN yang menemukan, TUHAN juga yang akan memisahkannya. ALLAH penyelesai segala masalah. Hanya DIA juga yang tahu, pihak yang mana yang telah membuat keputusan yang paling sukar. ALLAH yang maha mengetahui di dalam hati setiap hamba-NYA.
Saya telah maklumkan kepada Abang Syamil beberapa kali, saya telah menatangnya seperti minyak yang penuh.Seumur hidup saya, tidak pernah mempercayai orang lain sebagaimana saya mempercayai diri Abang Syamil, namun akan tiba detiknya saya tidak menginginkan apa-apa. Saya akan pergi buat selamanya. Saya tidak pernah mementingkan kehendak peribadi. Segala-galanya telah diberitahu. Semuanya sudah dicerita. Hanya menunggu saat ketika yang ditentukan oleh-NYA dengan sebab yang ditentukan oleh-NYA juga.
Meskipun tidak pernah berniat untuk mengganggu sesiapa, namun saya tidak boleh menghalang apa-apa tanggapan terhadap diri saya kerana diri penuh dengan kelemahan serta kekurangan. Ungkapan dan kata-kata yang saya terima membuktikan segalanya.
Saya tidak pernah mengenali Abang Syamil sebelum ini. Dia yang datang dalam hidup saya. Saya juga tidak tahu siapa puan sebelum ini, tetapi puan yang muncul di dalam hidup saya tanpa diundang.
Justeru itu maaf kerana menjadi pengganggu selama hampir enam tahun di kehidupan puan dan Abang Syamil.

Lidyahani.

SETENANG air dikali, begitulah yang aku rasai, Yanti. Sebaik sahaja aku menguruskan soal pembayaran wang itu kepada Syamil. Sehingga kini mereka tidak pernah menghubungiku untuk mengucapkan terima kasih atau meminta maaf. Walaupun aku tidak mengharapkan ucapan terima kasih daripada Syamil atau Norshakila, tetapi sebenarnya aku berasa hairan juga mengapakah mereka tergamak menerima wang orang lain tanpa mengucapkan kata-kata itu? Apatah lagi untuk meminta maaf kerana mereka telah menyebabkan aku di belasah, nyaris mati.


......BEGITUKAH NILAI KEMANUSIAAN YANG ADA DI KALANGAN KITA HARI INI? baca kisah seterusnya tentang Lidyahani..dalam novel Redha Takdirmu..

No comments:

Post a Comment